Dalami ilmu, beri peringatan, dan mari bersama PAS
"Allah berfirman , maksudnya: ‘Hendaklah ada satu kelompok dari satu kumpulan manusia yang mendalami ilmu agama, dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila kembali, mudah-mudahan mereka beringat.’
Ilmu mengenal Allah, yang mendekatkan diri kepadaNya, tahu hukum-hakam, halal haram, suruhan dan tegahan, patuh Nabi adalah ilmu tafaqquh fiddin paling tinggi. Ilmu bukan bermakna hanya memiliki PhD Syariah, Dakwah atau Hadis. Ilmu mesti dimanfaatkan untuk diri sendiri, kemudian diberikan peringatan kepada orang lain.
Allah berfirman maksudnya: ‘Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang hampir.’ Di antara papantanda paling banyak di jalanraya ialah perkataan AWAS. Konsep perkataan AWAS itulah yang telah dilakukan oleh Nabi SAW dalam misi dakwah Baginda, dan itulah jalan yang mesti dituruti.
Ilmu juga untuk diamal. Ada yang dapat diamal dengan mudah seperti solat. Ada yang tidak dapat diamalkan melainkan mesti ada sebuah negara atau sistem yang menaunginya. Benarlah perkataan Saidina Osman bin Affan, mafhumnya: ‘Sesungguhnya Allah menjaga agama melalui kekuasaan, apa yang tidak dijaga oleh al-Quran‘.
Judi haram, rasuah haram, zina haram. Keadilan mesti ditegakkan. Al-Quran dan hadis menyebutkan demikian. Tetapi Tok Guru, ulama atau pensyarah IPT hanya dapat menyebut dan memberitahu, tidak dapat melaksanakan tuntutannya. Kuasa diperlukan untuk memartabatkan hukum al-Quran dan Hadis itu. Tok Guru, ulama dan Dr bersandar kepada tiang masjid dan kerusi, tetapi Nabi mengajarkan ia mesti bersandar kepada kuasa yang dapat melaksanakannya. Justru, hijrah berlaku.
Malang bagi mereka yang mendalami agama, belajar puluhan dan ratusan kitab ulama muktabar tetapi akhirnya gagal memahami tuntutan menegakkan Islam dalam bentuk dan sistem bernegaranya. Alhamdulillah, di Malaysia, PAS adalah gerakan Islam yang konsisten dengan matlamat dan tujuan ini. Ia perlu dibantu, terutama oleh mereka yang punya ilmu agama. Jika dirasakan ada kekurangan dan kesilapan, ia perlu ditegur melalui adab dan saluran yang betul. Meruntuh lebih mudah dari membina.
Saya mengajak graduan lulusan Akademi Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam- dalam dan luarnegeri, mereka yang berada di pondok pengajian tradisional, pensyarah IPT dan lain-lain untuk bersama memartabatkan Islam dalam bentuk bernegara dengan bersama kami dalam PAS. Berikan sumbangan semampu mungkin.
‘Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu, dan menetapkan pendirian kaki kamu.’ Daripada Abu Hurairah ra katanya, Nabi SAW bersabda: ‘Tidak akan masuk Neraka seorang yang menangis kerana takutkan Allah sehingga susu kembali ke tempatnya dan tidak berhimpun debu hasi dari perjuangan di jalan Allah dengan asap neraka Jahannam.’
http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=2389
Why did I become a Muslim? | Daud Kim
5 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan