Jaipp sedia bahan terkini perkasa guru takmir

SEBERANG JAYA, 28 April: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyediakan bahan terkini untuk memperkasakan guru-guru takmir agar selari dengan cabaran semasa umat Islam yang semakin hebat, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Saleh Man.

Beliau ketika merasmikan majlis Ijtimak Guru-Guru Takmir Seluruh Pulau Pinang di sebuah hotel di sini pagi tadi menambah, pada masa kini dua buku telah pun diberikan kepada guru-guru berkenaan untuk digunakan terutamanya berhadapan dengan permasalahan masyarakat berpandukan al-Quran.

Buku tersebut ialah Ayat Suruhan dan Ayat Larangan yang mana, katanya, secara ringkas merungkaikan apa jua masalah yang dihadapi oleh masyarakat terutamanya membabitkan keluarga.

"Jaipp dan Jakim telah bersedia dengan kelengkapan berhadapan dengan karenah masyarakat apabila menyediakan dua buku iaitu Ayat Suruhan dan Ayat Larangan kepada guru takmir supaya dapat menyampaikan maklumat berhubung masalah yang berlaku masa kini," jelasnya yang juga Adun Permatang Pasir.

Tujuannya, kata beliau utama pendekatan yang diambil untuk memantapkan masyarakat yang kini dijangkit penyakit serta membina semula generasi muda di segenap bidang.

Ini, katanya memandangkan generasi muda merupakan pelapis kepada generasi akan datang maka segala penyakit wajar disembuhkan sesuai dengan cabaran globalisasi yang semakin meresahkan umat Islam.

"Penyakit yang dihadapi oleh umat Islam sekarang ini harus di sembuhkan. Antara elemen yang boleh membantu menyelesaikan masalah itu ialah dengan memperkenalkan subjek seperti Tafsir, Hadith, Tasawuf, Feqah, Sirah dan Akhlak kerana mendidik jiwa masyarakat khasnya golongan muda mudi untuk menjadi bangsa yang berilmu dan berahklak mendekati masjid," tambahnya di hadapan 100 orang guru takmir yang datang dari lima daerah.

Program bertemakan 'Memantapkan Ukhwah Memperkasakan Ummah' juga mengajak masyarakat supaya
tidak terjebak dengan fahaman khilafiah yang mengundang perpecahan di beberapa buah masjid.

Justeru itu, beliau menasihati walaupun berbeza pendapat namun untuk berpecah jangan sekali-kali demi agama yang suci kerana masjid adalah tempat yang mulia untuk beribadat, tidak disalahgunakan dengan program yang tidak bersesuaian dengan suasana masyarakat sekarang.

"Tugas kita semua untuk memperbetulkan keadaan dan mengimarahkan masjid seterusnya memelihara penyatuan masjid agar tidak berpecah belah," tegasnya.

Menurut beliau lagi, pada tahun 2009, Jakim telah menyediakan peruntukan sebanyak RM639,180 bagi urusan pembayaran elaun guru-guru takmir iaitu RM40 untuk sekali mengajar dan peruntukan khas RM25,000 bagi pelaksanaan kelas 'Tafaqquh Fiddin' untuk setiap daerah.

Manakala Pusat Urus Zakat (PUZ) pula, sejumlah RM174.890 telah diperuntukkan pada tahun 2009 di mana aktiviti yang digunakan untuk membayar elaun tambahan mengajar guru takmir sebanyak RM10 untuk satu kelas.

Menyentuh mengenai usaha mendapatkan tauliah di Pulau Pinang terutamanya guru baru yang berhajat, boleh mendapatkanya di pejabat Jaipp bagi mengelak daripada timbul berbagai prasangka yang tidak baik.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Jaipp, Haji Sazali Husain, wakil Ketua Pengarah Jakim, Ustazah Latifah Said, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Masjid dan Surau, Ustaz Ayob Yaacob dan Penyelaras Program Unit Takmir, Ustaz Imran Ibrahim.

Sumber Harakahdaily.net/v2