Dekati Mereka Dengan Futsal

Pemuda dekati golongan muda dengan futsal.

PULAU PINANG, 8 Nov: Mungkin tidak berkaitan dengan seminar khas PAS semalam, tetapi apa yang dibuat oleh Pemuda PAS adalah untuk mendekati golongan muda yang dikatakan sudah mulai menjauhi PAS.
Lebih 500 pemuda telah menyertai kejohanan futsal bagi merebut piala Ketua Pemuda PAS untuk zon Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

Kumpulan Lagenda FC Kulim, Kedah telah berjaya menjadi juara dalam pertandingan yang telah diadakan di Safira Sport Planet, Seberang Jaya baru-baru ini.

Pasukan ini juga akan mewakili Pemuda PAS Pulau Pinang ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pertandingan tersebut sebanyak 65 pasukan yang disertai oleh lebih daripada 500 peserta daripada Kedah dan Pulau Pinang telah mengambil bahagian.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan kepada para pemenang. Dalam kejohanan tersebut tempat kedua telah dimenangi oleh kumpulan SDM Navy.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Bagan Boy daripada Pulau Pinang dan keempat ialah Simple FC.

Antara resolusi Seminar Memperkasakan PAS semalam adalah mendekati golongan muda yang dikatakan sudah mula menjauhi PAS. Mungkin program ini agak lewat sehingga terhasil persepsi itu.

Mohd Sany dalam ucapan beliau berkata usaha yang diambil oleh Pemuda PAS ini adalah satu usaha yang amat terpuji bagi merapatkan remaja dan generasi muda dengan PAS.

"Secara tidak langsung kegiatan riadah sebegini rupa membawa satu ikatan antara pemuda tempatan dan juga Pemuda PAS Pulau Pinang. Kita mahu melihat bahawa PAS bukan saja dilihat sebagai penggerak untuk memperjuangkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat tetapi juga meneruskan agenda untuk menjadikan remaja dan generasi muda sebagai mereka yang sentiasa bergiat aktif dalam sukan disamping menjadikan PAS itu sebagai wadah perjuangan.

"Kita lihat pada hari ini dengan jumlah lebih daripada 500 peserta daripada pelbagai keturunan masyarakat yang turut serta membuktikan bahawa PAS diterima oleh semua golongan.Ini adalah sejajar dengan konsep 'PAS For All' atau PAS untuk semua sepertimana yang diperjuangkan selama ini."