UMNO Sudah jadi bangkai....

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya."



"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata bekas pemimpin kanan Umno itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.
"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga," tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

IMAM AS-SYAFIE ULAMA SEPANJANG ZAMAN


Imam As-Syafie merupakan seorang tokoh yang agung. Kelu lidah ini bagi menerangkan kemuliaannya, lenguh qalam menari di atas kertas untuk mencoretkan akan kehebatannya. salah seorang daripada pemimpin mazhab empat yang menjadi bukti kepada karamahnya yang berpanjangan dan berterusan. Diakui oleh lawan dan kawan tentang kemulian dan kehebatannya sehingga menjadi kekaguman semua umat di zamannya dan zaman selepasnya.
Nama sebenar beliau ialah Abu Abdillah, Muhammad bin Idris bin Abbas bin Ustman bin syafie' bin Saib bin Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abd Muttalib. Dilahirkan pada 150H dan wafat pada 204H pada usianya 54 tahun. Berketurunan Quraisy bertemu dengan keturunan Rasulullah melalui moyangnya yang bernama Abd Manaf. Keturunan yang mulia ditambahi dengan ilmu yang memenuhi bumi, menjadi ikutan ummat sepanjang zaman. Kewafatan Imam adalah musibah ummat. Diceritakan bahawa seorang bermimpi pada malam kewafatan As-Syafie bahawa Rasulullah s.a.w wafat pada malam itu, yang menyebabkan kesedihan manusia. Ar-Rabi' bermimpi bahawa Nabi Adam a.s. wafat, maka dia bertanya kepada orang alim dalam bidang ta'bir mimpi, katanya: "Ini adalah tanda bahawa akan mati orang yang paling alim". Tidak lama selepas itu Imam as-Syafie wafat. Seolah-olah kewafatan As-Syafie sama seperti kewafatan Nabi Muhammad s.a.w dan Nabi Adam a.s.
Imam As-Syafie mempunyai keperibadian yang unggul dan hebat. Disamping keilmuannya yang tidak dapat dicabar, sifat pemurahnya dan rendah diri kepada semua manusia. Beliau juga seorang yang berani mempertahankan kebenaran dan lantang dalam menegakkan agama Islam. Apa yang menariknya kemunculannya menyatukan dua aliran yang berbeza. Aliran yang mengutamakan akal yang dikenali sebagai Ahlu Ra'yi dan aliran hadis yang dikenali sebagai Ahlu Hadis. Ramai Ulama' berusaha untuk memperincikan latar belakang hidup beliau antaranya Imam Daud Az-Zahiri, As-Saji, Imam Darul Qutni, Al-Aajuri, Ar-Razi, Imam Baihaqi dan banyak lagi. Antara karangan termoden ialah apa yang ditulis oleh Imam Abu Zahrah. Beliau meninggalkan ratusan kitab yang menjadi pedoman kepada semua para alim ulama'. Yang paling tersohor ialah kitan Al-Um, Ar-Risalah, Ahkamul Quran, Al-Hujjah dan lain-lain lagi.
Antara kata-katanya yang masyhur ialah:
  • Menuntut ilmu lebih mulia daripada ibadat sunat
  • Siapa yang inginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan akhirat maka hendaklah dengan ilmu
  • Ibadat yang paling hampir kepada Allah selepas perkara wajib ialah menuntut ilmu.
  • Hiasan ilmu ialah wara' dan lemah lembut
  • Ilmu yang sebenar bukannya yang dihafaz tetapi yang memberi manfaat
  • Perdebatan dalam ilmu mengeraskan hati dan menimbulkan dendam
  • Sesiapa yang tidak dimuliakan dengan takwa maka tiada kemulian baginya
  • Kebaikan dunia dan akhirat pada lima perkara; Kaya jiwa, menahan diri daripada melakukan penganiayaan, rezki yang halal, bertakwa, dan percaya kepada Allah pada semua keadaan.
Terlalu banyak yang hendak dicoretkan mengenai Imam yang mulia ini. Oleh kerana keterbatasan waktu, cukup setakat ini sahaja. Semoga ilmu kita sentiasa bertambah. Amin.

Dekati Mereka Dengan Futsal

Pemuda dekati golongan muda dengan futsal.

PULAU PINANG, 8 Nov: Mungkin tidak berkaitan dengan seminar khas PAS semalam, tetapi apa yang dibuat oleh Pemuda PAS adalah untuk mendekati golongan muda yang dikatakan sudah mulai menjauhi PAS.
Lebih 500 pemuda telah menyertai kejohanan futsal bagi merebut piala Ketua Pemuda PAS untuk zon Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

Kumpulan Lagenda FC Kulim, Kedah telah berjaya menjadi juara dalam pertandingan yang telah diadakan di Safira Sport Planet, Seberang Jaya baru-baru ini.

Pasukan ini juga akan mewakili Pemuda PAS Pulau Pinang ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pertandingan tersebut sebanyak 65 pasukan yang disertai oleh lebih daripada 500 peserta daripada Kedah dan Pulau Pinang telah mengambil bahagian.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan kepada para pemenang. Dalam kejohanan tersebut tempat kedua telah dimenangi oleh kumpulan SDM Navy.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Bagan Boy daripada Pulau Pinang dan keempat ialah Simple FC.

Antara resolusi Seminar Memperkasakan PAS semalam adalah mendekati golongan muda yang dikatakan sudah mula menjauhi PAS. Mungkin program ini agak lewat sehingga terhasil persepsi itu.

Mohd Sany dalam ucapan beliau berkata usaha yang diambil oleh Pemuda PAS ini adalah satu usaha yang amat terpuji bagi merapatkan remaja dan generasi muda dengan PAS.

"Secara tidak langsung kegiatan riadah sebegini rupa membawa satu ikatan antara pemuda tempatan dan juga Pemuda PAS Pulau Pinang. Kita mahu melihat bahawa PAS bukan saja dilihat sebagai penggerak untuk memperjuangkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat tetapi juga meneruskan agenda untuk menjadikan remaja dan generasi muda sebagai mereka yang sentiasa bergiat aktif dalam sukan disamping menjadikan PAS itu sebagai wadah perjuangan.

"Kita lihat pada hari ini dengan jumlah lebih daripada 500 peserta daripada pelbagai keturunan masyarakat yang turut serta membuktikan bahawa PAS diterima oleh semua golongan.Ini adalah sejajar dengan konsep 'PAS For All' atau PAS untuk semua sepertimana yang diperjuangkan selama ini."