Tukar PTPN kepada Biasiswa

KUALA KRAU, 12 April: Kerajaan digesa tidak mengenakan sebarang bayaran faedah bagi penerima Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) atau pinjaman tersebut ditukar statusnya kepada biasiswa sepenuhnya.

Demikian kandungan usul Dewan Muslimat yang dibawa dalam Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau kali ke 24 yang diadakan di Darul Hikmah, dekat sini, semalam.

Ini kerana menyedari tentang pentingnya rakyat mendapat pendidikan tinggi hingga ke peringkat universiti dan menyedari tentang pentingnya modal insan yang intelektual, inovasi dan berdaya saing dari aspek ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

“Menyedari tentang bebanan tanggungjawab kos yang sangat tinggi, maka Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Krau pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan kali ke-24 yang bersidang pada hari ini menggesa pihak kerajaan tidak mengenakan sebarang bayaran faedah bagi penerima PTPTN yang membuat bayaran balik segala pinjaman yang mereka perolehi atau menukarkannya kepada status biasiswa sepenuhnya,” kata wakil dewan itu, Puan Salina Omar ketika membentangkan usul berkenaan.

Tambahnya, dalam keadaan ekonomi rakyat yang semakin mendesak adalah tidak wajar bagi kerajaan membebankan rakyat menanggung kos pendidikan yang merupakan perkara asas yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan.

”Kalau kerajaan benar-benar berjiwa rakyat dan berjiwa Islam, kita menuntut kerajaan peka dengan kepentingan memberi pendidikan kepada rakyat sehingga ke peringkat tertinggi. Adalah tidak wajar pelajar dikenakan faedah berbentuk riba dan kita menuntut agar status tersebut ditukar kepada biasiswa sepenuhnya,” katanya.

Usul tersebut disokong perwakilan Dewan Pemuda PAS kawasan yang kemudian diterima sebulat suara.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25992:tukar-ptptn-kepada-biasiswa&catid=1:utama&Itemid=50