Hub hiburan: Pemuda PAS sifatkan mundur, jahiliah

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menjadikan Malaysia hub pusat hiburan malam dilihat sebagai ekonomi ‘pumping' (turun naik), kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi.


"Jika benar apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, peringkat awal mungkin ia akan dapat menjana pendapatan tetapi kesan sosial yang diterima akan menjadikan kita rugi besar," katanya ketika dihubungi petang tadi.

Katanya, kerajaan terpaksa pula membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk kempen dan menangani masalah keruntuhan sosial seperti masalah buang bayi, penyakit Aids, penyakit kelamin dan lain-lain masalah sosial.

"Ini kerja sia-sia, kerja korek dan kemudian timbus. Pertumbuhan gejala sosial juga akan parah daripada apa yang sedia parah.

"Ini sebenarnya nak membawa Malaysia ke arah kehancuran kerana dia lupa modal insan merupakan asas yang sangat penting untuk menjadi negara maju," tegas beliau dalam nada yang kecewa.

Nasrudin juga melihat apa yang dirancang oleh kerajaan pimpinan Najib sebagai suatu yang mundur, bersifat jahiliah dan tidak sepatutnya terfikir oleh seorang pemimpin di dunia moden kini.

"Langkah ini, langkah mundur kebelakang kerana negara sepatutnya dipacu untuk menjadi negara maju kehadapan dengan mendidik rakyat kerja keras dan menjadikan rakyat berdikari, rajin dan bermoral, tetapi malan dia mahu menjadikan rakyat malas, bodoh dan tenggelam dalam dunia hiburan," katanya.

Nasrudin juga hairan pada masa Najib menjadi Perdana Menteri, beliau memperbanyakkan program-program hiburan, berbeza dengan zaman Dr Mahathir yang tidak menjadikan hiburan sumber utama dalam penjanaan ekonomi.

"Saya bukan menolak hiburan, tetapi menjadikan hiburan sebagai suatu tumpuan, industri besar akan melumpuhkan modal insan dan kerajaan pula terpaksa membelanjakan perbelanjaan yang besar untuk membangunkan modal insan," tambahnya.