Mesir dan Tunisia: Bebaskan SPR dan media


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 29 Jan: PAS meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian (di Mesir dan Tunisia sekarang) berlaku di negara ini," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya bagi mengulas apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir sekarang.

"Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," kata Abdul Hadi.

Rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak semua kerajaan yang memerintah di waktu ini di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan.

Di Mesir, katanya, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

Katanya, dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban.

"Penyelesaian terhadap kemelut ini boleh berlaku dengan dibukanya pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihanraya yang telus di Mesir," katanya.

Kepada kerajaan Barisan Nasional di Malaysia, perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini.

Apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung lagi.

Maka pemerintahan BN, katanya, perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini. Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," katanya.
 
Bookmark and Share

Perkembangan Terkini Pembinaan Kompleks Tarbiyah Luqmanul Hakim PAS Kawasan Setiu







SETIU. Projek pembinaan kompleks Tarbiyah Luqmanul Hakim PAS Kawasan Setiu baru dimulakan pada awal bulan disember 1/12/2010, bertempat di Kg. Guntong Luar, Permaisuri.

Projek ini ada 4 fasa semua sekali, di mana fasa pertama bermula pada 1 Disember 2010 sehingga 30 Jun 2011 dan anggaran siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Hampir 25 tahun PAS Kawasan Setiu ditubuhkan baru sekarang PAS Kawasan berjaya mendirikan Kompleks Tarbiyahnya sendiri, di mana PAS Kawasan-kawasan lain sudah mempunyai bangunannya sendiri. 

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang dengan membeli lot tanah wakaf, kewangan dan barangan pembinaan bolehlah menghubungi Ketua Lujnah Pembangunan iaitu Ust. Shaharizukirnain Abd. Kadir nombor di talian 014-8424548 dan Setiausaha Lujnah Pembangunan Sdr. Azmi bin Maarof nombor di talian 013-9078640.

Bukan PAS, tapi mahkamah sahkan calon BN salah

Abd Aziz Mustafa      
LABIS, 27 Jan: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim hakikatnya telah disahkan bersalah oleh mahkamah kerana melelong tanah secara tidak sah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Melelong tanah secara tidak sah bukan sahaja tidak mengikut prosedur malah adalah satu kesalahan dan oleh sebab itulah Mahkamah Tinggi Muar memerintahkan dikembalikan tanah itu kepada pemiliknya, Mansor Mohamad bersama kos pada 2008.

"Jika tindakan melelong itu sah, mengikut prosedur dan bukan satu kesalahan, mahkamah tidak akan memerintahkan tanah itu dikembalikan," katanya.

Mahfuz menyeru rakyat Tenang menolak Mohd Azahar yang telah disahkan melakukan kesalahan oleh mahkamah dan memilih calon PAS, Normala Sudirman.

"Normala bukan sahaja bersih dari tuduhan penyalahgunaan kuasa seperti yang sedang dihadapi oleh Mohd Azahar malah calon PAS di Tenang itu pernah diiktiraf sebagai guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran," katanya.

Mohd Azahar kini adalah defendan pertama dalam tuntutan saman Norhana Mohd Ali yang telah terpedaya membeli tanah Mansor yang dilelong secara tidak sah itu.

"Akibat penglibatan Mohd Azahar melelong tanah dengan cara yang didapati salah oleh mahkamah itu, kerajaan dan rakyat kini menghadapi risiko menanggung kerugian kira-kira RM1.5 juta," kata Mahfuz.

Norhana menuntut gantirugi berjumlah kira-kira 1.5 juta dan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Norhana ke atas calon BN di Tenang itu dan tiga yang lain pada 7 Februari 2011 ini.

"Dari segi integriti, Mohd Azahar hakikatnya tidak ada integriti kerana beliau sebelum ini mendakwa apa yang dilakukannya mengikut adalah prosedur dan kes lelongan tanah itu telah selesai.

"Kalau mengikut prosedur, mengapa mahkamah mengesahkan kesalahan beliau terlibat dalam lelongan tanah secata tidak sah dan jika selesai, mengapa pula ada tuntutan berkaitan tanah itu yang akan didengari mahkamah pada 7 Februari ini?" Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan.

Kalau sebagai pentadbir tanah pun beliau telah menghadapi tuduhan menyalahgunakan kuasa dan disahkan pula oleh mahkamah melakukan kesalahan, Mahfuz mengingatkan para pengundi di Tenang tentang kemungkinan bahaya lebih buruk yang akan dihadapi oleh rakyat dan kerajaan jika Mohd Azahar mendapat kuasa lebih besar hasil kemenangannya dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Dengan kuasa hanya sebagai pentadbir tanah sahaja Mohd Azahar bukan sahaja telah memburukkan imej kerajaan malah mengakibatkan rakyat dan kerajaan menanggung risiko kerugian kira-kira RM1.5 juta, bayangkan kalau beliau mendapat kuasa lebih besar jika beliau menang pilihan raya kecil Tenang," beliau mengingatkan.