Pemuda PAS sedia kerjasama dengan jabatan agama

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya sedia mengadakan kerjasama dengan jabatan agama negeri-negeri bagi membendung gejala zina yang semakin berleluasa sekarang.


Beliau yang merujuk kepada tahap gejala sosial termasuk zina yang semakin parah sebagaimana yang dilaporkan media arus perdana hari ini.

Ini, katanya ditambah dengan laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008.

Nasrudin menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Anti Zina, Arak dan Pergaulan Bebas di Pasar Seni, di sini, petang ini. Hadir sama ialah timbalan dan naibnya, Azman Shapawi Abdul Rani dan Ahmad Sabki Yusof serta beberapa Exco Pemuda PAS Pusat

Katanya, kebetulan pula esok adalah sambutan Valentine’s Day.


“Kita lihat masyarakat kita sambut Valentine’s Day tak ubah sebagaimana orang barat menyambutanya,” ujarnya.

Bahkan, katanya Pemuda PAS Pusat turut menghantar memorandum kepada pihak Menara Kuala Lumpur yang mengadakan sambutan itu dengan program yang merosakkan golongan muda.

Mengenai kempen anti zina, beliau memberitahu ia dijalankan secara berterusan sepanjang masa.

“Kita menyedari jika kita tidak mengambil berat dalam perkara ini, maka gejala ini semakin teruk,” ujarnya.

Tambahnya, kempen anti zina adalah salah satu daripada tiga kempen yang dilaksanakan oleh pihaknya pada mesyuarat Pemuda PAS Pusat hari ini.

Menurutnya lagi, kempen kedua ialah Kempen Lailahaillallah lanjutan daripada pendirian PAS Pusat bahawa penganut agama samawi boleh menggunakan kalimah Allah tetapi tidak boleh menyalahgunakannya yang boleh mengelirukan umat Islam.

Selain itu, katanya satu lagi ialah Kempen Selamatkan Negara daripada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan salah urus tadbir negara pihak pemerintah