Himpit10k-Pemuda Aset Penting


Kedatangan Penceramah Tersohor, Alfadhil Ustaz Azhar Idrus amat dinantikan oleh semua lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu agama. Ceramahnya yang agak santai, bersahaja dan diselitkan dengan sindirin sinis berjaya menarik minat orang ramai.

Ceramah Perdana Dhuha HIMPIT 10K oleh Ustaz Azhar Idrus berlangsung pada pagi Jumaat di tapak HIMPIT 10K.

Sejak pagi lagi orang ramai berpusu - pusu datang. Kehadiran golongan muda dan tua untuk mengikuti ceramah agama begitu ramai disamping peserta HIMPIT 10K sendiri.

"Saya sendiri agak lewat belajar agama, masa tu umur saya sudah 20an". ujarnya.

Beliau amat berbangga dengan orang muda yang menyertai kumpulan Gerakan Islam seperti PAS.

"Orang muda ini tenaganya kuat, fikirannya tajam dan selera tinggi, jika mereka bersama PAS ianya menjadi aset penting pada PAS dengan kriteria yang mereka miliki tersebut", jelas beliau.

Al Fadhil Ustaz berharap ramai pemuda di luar sana menyertai PAS. "Inilah satu - satunya gerakan atau parti yang benar - benar memperjuangan Islam, jadi orang muda usah ragu untuk menyertai PAS", jelasnya lagi.

Al Fadhil juga mengingatkan orang muda dengan budaya rempit. "Nak rempit tidak salah, tapi bila masa solat jangan tinggalkan solat", jelasnya lagi.

"Saya mendapat maklumat PAS ada Kelab Motosikal, Alternative Rider Club (ARC), jadi orang muda boleh masuk jadi ahli, tidak salah dan ikut semua peraturan kelab, masa solat kita solat, masa rempit kita rempit lah...", katanya.

Kuliah Dhuha HIMPIT 10K banyak menyentuh peranan orang muda dalam gerakan Islam seperti PAS ini.
Dianggarkan 5,000 orang datang memenuhi tapak HIMPIT 10K pada pagi tersebut untuk melihat secara dekat dan mendengar secara langsung kuliah dhuha beliau.

Kesesakan lalulintas bermula di persimpangan Masjid Geliga lagi sejauh 3 kilometer dari tapak HIMPIT 10K.
Bagaimanapun, peranan Unit Amal yang bertugas mengawas lalu lintas ke tapak HIMPIT 10K berjaya meredakan keadaan.