Kesan Ulama dan Umara Tidak Berperanan

Umara dan ulama ada peranan masing-masing namun antara mereka perlu saling berhubung untuk kebaikan rakyat. Tetapi sejauh mana peranan itu dimainkan oleh kedua-dua belah pihak. Inilah yang menjadi persoalan yang perlu kita cari.

Siapa umara dan siapa ulama perlu dijelaskan supaya mereka tahu status sebelum. Mungkin selama ini mereka tidak kenal lalu tidak tahu hendak bertindak seperti yang sewajarnya. Mengikut penjelasan Dato’ Dr Ismail Ibrahim umara ialah pemerintah daripada Perdana Menteri sehingga pemimpin atau ketua dalam sesuatu jabatan dalam kerajaan. Oleh sebab itu padanya, mufti adalah termasuk dalam umara.

Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dalam mendifiniskan ulama menjelaskan bahawa semua cerdik pandai Islam dalam bidang ilmu Islam adalah dikira ulama. Difinisi ini dibentangkan sewaktu kedua-dua mereka membentangkan kertas kerja dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri dengan Ulama dan Umara di PICC baru-baru ini.

Berdasarkan itu umara berperanan memerintah, mentadbir, dan mengurus hal ehwal negara untuk manfaat rakyat. Semua perlu dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak Islam. Pada masa yang sama, ulama berperanan mengurus hal ehwal Islam yang melibatkan masyarakat Islam termasuk pemimpin.

Jelas di sini, peranan ulama lebih besar daripada umara kerana mereka perlu memastikan perjalanan politik sesuai dengan Islam, pengurusan kerajaan selaras dengan Islam dan khidmat pegawai kerajaan adil terhadap rakyat. Ulama juga perlu memberi pendidikan iman dan takwa kepada masyarakat dan membimbing mereka agar tidak melanggar hukum Allah dan negara.

Oleh sebab itu, ulama dan umara perlu saling berhubung untuk membaik pulih dan menambahbaik urusan yang melibatkan pentadbiran dan rakyat. Jika pemimpin salah, ulama akan segera menegur. Dan jika pemimpin hendak melakukan sesuatu akiviti harus merujuk kepada ulama untuk kepastian sesuai dengan kehendak Islam.

Dalam hal ini Islam mengingatkan dua golongan ini dengan sabda Rasulullah s.a.w:

شِرَارُ العُلَمَاءِ الَّذِينَ يَأتُونَ الأُمَرَاءَ وَخِيَارُ الأُمَرَاءِ الَّذِينَ يَأتُونَ العُلَمَاءَ - رواه ابن ماجه

Maksudnya: “Seburuk-buruk ulama ialah mereka yang mendatangi umara dan sebaik-baik umara ialah mereka yang mendatangi ulama,” (Riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini merujuk kepada sikap ulama yang datang bertemu dengan pemimpin negara untuk mengampu mereka. Jika pemerintah melakukan sesuatu perkara yang secara umum kurang baik atau salah, dicari jalan untuk menutupnya. Diusahakan untuk mendapatkan hujah al-Quran dan hadis bagi membolehkan usaha kerajaan itu diteruskan.

Keadaan ini berbeza jika umara datang kepada ulama, mereka mahu mendapatkan kepastian tentang hukum. Kalau mereka rasa ada yang tidak kena dengan pentadbiran, akan dirujuk kepada ulama. Sikap pemimpin ini adalah terpuji.

Walau bagaimanapun lazimnya umara tidak bersikap begitu. Mereka akan mengelak daripada memerintah dengan adil. Kalau perkara itu menguntungkannya atau kumpulannya dia akan memberi perhatian. Tetapi kalau perkara itu menguntungkan orang lain, mereka akan cuba memburukkan orang itu. Kata hukama’:

اِذَا رَغِبَتِ المُلُوكُ عَنِ العَدْلِ وَرَغِبَتِ الرَّعِيَّةُ عَنِ الطَاعَةِ – حكماء

Maksudnya: Biasanya pemerintah bencikan keadilan dan rakyat bencikan kepatuhan. – Hukama’

Memang rakyat suka mengambil pendekatan tidak suka mentaati pemerintah. Kadang-kadang sesuatu yang dibuat itu sudah baik tetapi ada sahaja yang mahu dikomennya. Hati kecilnya suka tetapi secara jelasnya tidak dinyatakan.

Sungguhpun begitu, kita agak kecewa juga dengan sikap ulama yang berada di jabatan agama di seluruh negara terutama yang berada di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, tidak banyak membantu rakyat ke arah mendidik mereka cara mentaati pemerintah. Sebaliknya mereka suka menghukum rakyat sebagai jahat dan derhaka jika tidak sokong pemerintah.

Mereka juga tidak agresif dalam dakwah sedangkan peruntukan untuknya terlalu banyak. Banyak pembaziran dengan perancangan yang tidak kemas. Kadang-kadang wangnya dilebihkan pada membuat kertas kerja dan upah yang tidak sepatutnya.

Jika mereka berperanan, tentu pada hari ini tidak ada lagi orang asli yang masih belum beragama. Tetapi apa yang terjadi kini, bukan sahaja ramai yang beragama nenek moyang, jumlah yang beragama Kristian lebih ramai daripada yang masuk Islam. Selain itu, sesudah sekian lama kita merdeka sepatutnya orang bukan Islam di negara ini kalau tidak mahu memeluk Islam pun mereka sudah boleh faham tentang Islam lalu tidak menentang Islam lagi.

Dari sudut amal makruf di mana ulama kerajaan ketika orang politik menakut-nakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang Islam? Di mana mereka ketika media menggembar-gemburkan cerita fitnah dan mengumpat. Di mana pegawai agama ketika media menghina Islam. Mengapa orang agama di dalam kerajaan tidak berani menegur pemimpin, orang politik dan kepimpinan media dalam soal ini?

Di mana mufti dalam berhadapan dengan isu besar yang mencabar Islam? Mereka itu takut untuk membantah apa yang berlaku di hadapan mata mereka kerana takut jawatan hilang, takut tidak naik pangkat dan sebagainya. Alangkah hinanya cerdik pandai Islam yang berada dalam kongkongan perasaan yang negatif terhadap kerajaan. Padahal kalau mereka boleh menegur umara dengan baik dan berhikmah, pandangan mereka boleh jadi diterima dengan baik.

Ketahuilah apabila ulama kerajaan takut menegur pemerintah, malah segala kesalahan pemerintah akan ditutup dengan pelbagai alasan, nescaya umara akan merasakan bahawa tindakan mereka betul. Pada masa yang sama, rakyat jelata dipersalahkan, mengintai tok guru yang mengajar di masjid dan surau kerana bimbang berlaku penyelewengan aqidah.

Pegawai agama ini mudah nampak kemunculan kumpulan ajaran sesat, lalu mereka diburu. Namun setelah bertahun-tahun ajaran itu dikenal pasti menyeleweng, terlalu sedikit yang telah berjaya dikembalikan kepada ajaran yang benar. Apakah mereka tidak begitu arif atau alim untuk menundukkan kefahaman guru ajaran sesat itu?

فَسَادُ الرَّعِيَّةِ مِنْ فَسَادِ المُلُوكِ وَفَسَادِ المُلُوكِ مِنْ عُلَمَاءِ السُّوْءِ - امام الغزالي

Maksudnya: “Rosaknya rakyat berpunca daripada rosaknya pemerintah dan rosaknya pemerintah berpunca daripada ulama suk yang ada kepentingan.” (Iman Ghazali)

Jika ulama dan umara ikhlas untuk membanteras ajaran sesat itu, tidaklah susah hingga memakan masa bertahun-tahun. Kumpulan mereka bukan ramai, boleh ditangkap dan diberi kursus tentang Islam dan aqidah yang betul. Alasan mereka susah hendak dibawa ke pusat pemulihan tidak boleh diterima. Hal ini kerana mereka bukanlah pengganas yang lebih bahaya daripada komunis.

Ulama dan umara harus insaf bahawa kecuaian mereka dalam perkara ini telah mengakibatkan banyaknya maksiat baik dalam kalangan remaja malah golongan dewasa. Perzinaan mudah berlaku di mana-mana. Perogolan mudah terjadi sehingga lahirnya anak tidak sah taraf atau anak longkang dan tong sampah.

إِذَا ظَهَرَ الزِنَاءُ وَالرِّبَا فِي القَرْيَةِ فَقَدْ أَحَلُّوا بِأَنْفُسَهُمْ عَذَابَ اللهِ - الحاكم

Maksudnya: “Apabila muncul banyak amalan zina dan riba dalam sesuatu kariah masa sesungguh mereka telah menghalalkan untuk mereka azab Allah” (al-Hakim)

Oleh sebab itu ulama dan umara patut berperanan menyedarkan rakyat tentang iman dan Islam. Mereka perlu mendidik anak remaja agar tidak menjadi anak derhaka dan turut membimbing ibu bapa agar tidak derhaka kepada anak mereka. Mereka perlu diselamatkan daripada api neraka.

http://idhamlim.blogspot.com/2010/02/fikrah-islamiah-kesan-ulama-dan-umara.html

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wah ini blog otai..since 2001..perghhhh wa salute

Catat Ulasan