Tanyalah Yang Tahu,Jika Tidak Tahu...

SALAH FAHAM FATWA

Baru-baru ni wartawan utusan melaporkan bahawa Darul Ifta telah memberikan pengecualian kepada Pemain bola sepak Mesir dari berpuasa di bulan ramadhan kerana pemain berkenaan perlu mengikuti latihan bola sepak bagi Kejohanan Remaja Dunia yg bakal berlangsung 23 September depan. Laporan itu sedikit sebanyak mendatangkan kekeliruan umat Islam seluruh dunia. Sila lihat http://www.utusan.com.my/utusan/info.asy=2009&dt=0826&pub=utusan_malaysia&sec=Sukan_Luar_negara&pg=sl_07.htm&arc=hive

Demi mengelakkan kekeliruan dan meluruskan pandangan yang adil terhadap para ulamak, maka perlulah kita mengetahui pandangan sebenar isu berkenaan : Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah Hafizahullah ketika menjawab kekeliruan orang ramai tentang perkara ini berkata :

“Seorang pemain bola sepak, terikat dengan kontrak yang dimeterai antaranya dengan kelab atau pasukan tersebut maka ianya dikira seorang yang dibayar gaji diatas pekerjaan tersebut. Jika pemain telah mengikat kontrak ini hanya memperoleh sumber rezekinya daripada pekerjaan sebagai pemain bola sepak, maka jika terdapat perlawanan yang dilaksanakan pada bulan Ramadhan maka dibenarkan untuknya berbuka puasa untuk perlawanan tersebut jika mutu permainannya akan terjejas disebabkan berpuasa. Ini merupakan rukhsah kepada pemain tersebut kerana dia dianggap sebagai seorang pekerja yang dibayar gaji dan perkerjaannya akan terjejas jika pemain tersebut tidak bertenaga. Ini seperti yang disebutkan oleh ulama Hanafiyah di dalam kitab-kitab mereka, seseorang yang dibayar gaji di dalam tempoh tertentu (kontrak) maka dibenarkan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan jika dia tidak mampu untuk berpuasa ketika melaksanakan kerjanya.(Maka pekerjaan kontrak sebegini termasuklah kepada pekerjaan sebagai pemain bola sepak).

Menurut al-Imam Ibn Abidin rahimahullah di dalam kitabnya “ Raddul Mukhtar a’la Durri al-Mukhtar” : "Di dalam permasalahan kerja kontrak, jika pekerja tersebut masih terdapat pendapatan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarganya (selain pekerjaan yang memerlukan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan) maka diharamkan kepada pekerja tersebut untuk berbuka puasa pada Bulan Ramadhan. Tetapi jika dia tidak mempunyai pekerjaan yang lain selain pekerjaan tersebut untuk menampung perbelanjaan keluarganya, jika dengan disebabkan berpuasa tersebut menjejaskan mutu kerjanya maka dibenarkan untuknya berbuka..." .

Katanya lagi : "Kes Ini hanyalah untuk perlawanan yang terpaksa dibuat pada waktu siang yang menyebabkan seseorang pemain tersebut mungkin tidak berupaya. Manakala untuk latihan, perlulah kepada jurulatih untuk membuat latihan pada waktu malam kerana latihan malam itu tidak akan menjejaskan ibadah puasa itu sendiri. Jika pihak pengurusan sebenarnya mampu untuk melaksanakan latihan pada waktu malam tetapi tidak dilaksanakan maka berdosa hukumnya meninggalkan puasa...”-intaha
Pencerahan :

1) Berdasarkan keterangan ini, jelas kepada kita bahawa apa yang dilaporkan oleh Wartawan Utusan Malaysia di atas amat bertentangan dengan kenyataan sebenar sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah. Kenyataan sebenar ialah dibenarkan (diberi kelonggaran) untuk berbuka puasa jika sesi latihan disiang hari. Maksudnya, bersahur dan berniat puasa terlebih dahulu, jika keletihan @ mudharat baru berbuka. Bukannya dikecualikan dari ibadat berpuasa di bulan Ramadhan.
2) Kenyataan SS Mufti Mesir berpandukan kepada rukhsah (kelonggaran hukum). Manakala laporan akhbar utusan mengulas tentang 'azimah (ketetapan hukum asal). Dalam disiplin Usul Feqh, Antara rukshah dan 'azimah terdapat perbezaan yang amat ketara.

3) SS Allamah Dr Ali Jum'ah juga berhujjah mengikut laras pandangan mazhab Hanafi berasaskan kontrak pekerja yang tidak mempunyai pendapatan lain untuk menyara diri @ keluarganya. Gaji pula dinilai berdasarkan prestasinya. Maka jika puasa menyebabkan hilang prestasi kerja kerana terpaksa membanting tulang disiang hari, maka diharuskan berbuka. Dan dikenakan qadha ke atas puasa yang ditinggalkan itu. Bukannya dikecualikan terus hukum yang wajib berkenaan semata-mata kerja berat @ bermain bolasepak dan selainnya. Kendatipun ia masih dikira dalam ruangan rukshah. Jika pekerja @ pemain berkenaan berkeupayaan utk bermujahadah. Maka ia lebih afdhal. Soal menutup aurat seperkara lain. Puasa tetap sah jika tidak menutup aurat. Tetapi nisbah pahalanya berkurangan kerana melakukan ibadat berkalang maksiat. Saya pernah merujuk SS Dato Mufti Penang dalam masalah ini. SS Dato Tuan Guru kami menjelaskan senario pandangan al-Syafiiyyah terhadap pekerja kontrak hampir sama.

4) Laporan picisan akhbar ini juga menggambarkan seolah-olah Darul Ifta membenarkan pemain tersebut ponteng fardhu puasa pada waktu latihan dgn sewenang-wenangnya. Sedangkan ia hanyalah rukhshah jika latihan disiang hari. Manakala cadangan latihan malam yang disyorkan SS Mufti tidak pula dihighlight.

Bagi saya, laporan tidak adil ini secara langsung menyebabkan umat Islam pesimis dgn kredibiliti Darul Ifta al-Masriyyah dan peranan para ulamaknya. Saya lebih tsiqah kepada para ulamak dari para wartawan yang memahami sesuatu pandangan secara kabur. Dan hanya bertindak mengedit isu-isu tertentu untuk melariskan jualan akhbar mereka. Nauzubillah. Sepatunya, rujuklah sesuatu fatwa kepada ahlinya. Semoga Allah terus memuliakan para alim ulamak kita yang ikhlas berjuang menegakkan syiar agamaNya.

http://al-ghari.blogspot.com/